Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli
fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa
antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada
yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu
melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok
engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau
dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah,
kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau
putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar
dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah
sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku
diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang
mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit
itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit
itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun
mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis
bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya
lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya
supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan
mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar
semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah
melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari
oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia
ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia
ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian
terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah
aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa
simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.
Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu
sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu
sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari
rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam
mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi
kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan
untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung
kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan
perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk
baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau
yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka
kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang
diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya
ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah
S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak
besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta
menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun
disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah
seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta
kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri
berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang).
Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat
ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini
hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa
sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita
elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu
suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal
seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan
di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak
pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang
Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala
orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa
walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan
merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal
orang walaupun ia benar.