Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak
berhaji, tertidur di Masjidil Haram. Dia telah bermimpi melihat dua malaikat
turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa banyak
orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"
Jawab yang lain, "Enam ratus ribu."
Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang
diterima ?"
Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima,
hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat
berhaji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu
diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."
Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar
percakapannya itu, maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke
Damsyik mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga ia sampailah ke
rumahnya. Dan ketika diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia
bertanya namanya.
Jawab orang itu, "Muwaffaq."
Lalu abdullah bin Mubarak bertanya padanya,
"Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang
sedemikian itu?"
Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin berhaji
tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga
ratus diirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalau aku berniat
haji pada tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau
makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi ke rumah
jiranku dan menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita jiranku itu.
Jawab jiranku, "Aku terpaksa membuka rahsiaku,
sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku
keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai
himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk
masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu."
Ketika aku mendegar jawapan itu, aku segera
kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan keserahkan kepada
jiranku tadi seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak
yatim yang ada dalam jagaannya itu.
"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu
rumahku." Kata Muwaffaq lagi.
Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa
membantu jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di
dalamnya terdapat anak-anak yatim.
Rasulullah ada ditanya, "Ya Rasullah tunjukkan
padaku amal perbuatan yang bila kuamalkan akan masuk syurga."
Jawab Rasulullah, "Jadilah kamu orang yang
baik."
Orang itu bertanya lagi, "Ya Rasulullah,
bagaimanakah akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat baik?"
Jawab Rasulullah, "Tanyakan pada tetanggamu,
maka bila mereka berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila
mereka berkata engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."