Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di
antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan
hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu
diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas
masing-masing.
Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat
telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu.
Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam
perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka
iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor
singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi
buah mulut ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat
menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun
menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."
Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan
Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah
menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu
sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.
Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu
percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam
keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat
ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman
meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke
dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam
dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia
tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia
mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri.
Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk
syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk
neraka."
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia
mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana
agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak
dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan
kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."
Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman
Hakim.